Saturday, December 28, 2013

Nasihat 3 Ilmu Itu Tidak Bermanafaat Kecuali Bila Sudah Diamalkan


Wahai anakku yang tercinta,
Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahawasanya semata-mata ilmu itu belum dapat menjamin keselamatanmu di akhirat kelak.

Umpamanya :
Kalau seseorang ada memiliki sepuluh bilah pedang yang sangat tajam dan juga bermacam-macam senjata yang lain lagi dan dia pula adalah seorang yang berani dan sangat cekap dalam peperangan, lalu datang seekor singa yang garang dan terus menyerangnya, maka apa pendpatmu, apakah semata-mata memiliki segala senjata tadi tanpa menggunakannya sudah cukup untuk menangkis serangan singa itu? Sudah tentu tidak.

Segala senjata itu baru bermanafaat apabila ianya digunakan oleh tuan empunya senjata itu. Maka begitulah keadaan seseorang yang telah mengetahui ratusan ribu masalah ilmu tetapi ia tidak beramal dengannya, maka segala ilmunya tidak akan bermanafaat kecuali setelah diamlkan. Sama pula keadaannya dengan seorang yang diserang sakit demam panas dan sakit kuning yang biasanya ia dinasihatkan meminum ubat sekanjabin dan kaskab, maka tidak akan hasil sembuhnya kecuali dengan dengan meminum ubat rersebut.

Dalam hal ini disebutkan suatu syair dalam bahasa Parsi :
كرمى دو هزار رطل همى بيمائي
                                                تامى نخورى نباشدت شيدائي
Ertinya : Seandainya engkau menimbang dua ribu kati arak, maka engkau tidak akan mabuk sehingga bila engkau meminumnya.
Jadi jika engkau belajar ilmu seratus tahun lamanya dan engkau menghimpunkan seribu buat kitab maka engkau masih belum layak mendapat rahmat Allah Ta'ala kecuali dengan mengamalkan ilmu ini.

Allah Ta'ala telah berfirman :
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
Maksudnya : Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat sesuatu, kecuali apa yang diusahakannya (An Najm 39)
Dan firmannya lagi :
يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً
Maksudnya : Maka sesiapa yang mengharap akan bertemu Tuhannya, maka hendaklah ia beramal akan amalan yang soleh (Al Kahfi 110)

Dan firmanNya lagi :
جَزَاء بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Balasan yang diberikan kepada mereka itu adalah sebagai balasan bagi amal yang telah mereka lakukan (At Taubah 82)

Dan firmanNya lagi :
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلاً
خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلاً
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh adalah syurga 'jannatul firdaus' itu sebagai tempat tinggal mereka. Mereka kekal di dalamnya dan mereka sudah tidak mahu lagi mencari tempat yang lain daripadanya sebagai gantinya (Al Kahfi 107 – 108)

Dan FirmanNya lagi :
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Kecuali (ertinya tidak masuk neraka) orang yang bertaubat dan beriman serta beramal dengan amal soleh (Al Furqan 70)

Apalabila engkau tidak beramal dengan ilmu maka ap jawapanmu terhadap hadis di bawah ini :
بني الإسلام على خمس : شهادةِ أن لا إله إلا الله ، وأن محمدا رسول الله ، وإقامِ الصلاةِ ، وإيتاءِ الزكاةِ ، وصوم رمضان وحجِّ البيت ، ) رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya :
Islam itu diasaskan atas lima perkara : Penyaksian bahawa tidak ada Tuhan kecuali hanya Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu pergi ke sana.

Makan iman itu ialah perkataan denga lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Dan dalil yang menuntut kita supaya beramal itu sangat banyak sekali sehingga tidak dapat dihitung banyaknya. Walaupun seorang hamba itu akan masuk syurga hanya dengan rahmat dan kemurahan Allah ta’ala, namun rahmat dan kemurahan ini didapatkan setelah seseorang hamba itu mempersiapkan diri dengan ketaatan dan ibadat, kerana rahmat Allah itu dekat kepada hamba-hambaNya yang berbuat baik.

Seandainya ada orang berkata :
Masuk syurga itu hanya dengan semata-mata beriman (inilah i’tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah)

Maka kami menjawab:
Memang begitu, tetapi bilakah seseorang itu dapat sampai ke sana dengan selamat (masuk syurga) dan berapa banyak halangan dan dugaan yang besar-besar yang mesti dilaluinya sebelum sampai ke sana.

Maka dugaaan pertama yang mesti dilaluinya ialah dugaan iman itu sendiri, apakah ia pasti selamat daripada tercabut iman sehingga ke ahir hayatnya. Dan apabila ia telah mati dalam keadaan beriman, maka apakah telah pasti pula bahawa ia tidak akan muflis atau rugi.

Dan berkata Imam Hasan al Basri rahimahullah ta’ala :
Allah ta’ala berfirman kepada hamba-hambaNya pada hari kiamat nanti “masuilah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu, dan tentukan kedudukan kamu masing-masing mengikut amalan kamu”.

Nasihat 2 - Bagaimana Sepatutnya Kita Menerima Nasihat

Wahai anakku yang tercinta : 
Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikut hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu supaya mendapat sesuatu gelaran rasmi) serta sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan diri dan menghimpunkan kesenangan dunia, kerana orang yangseperti ini biasanya menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan sebab kebahagiannya maka ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya itu. 

Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan i'tiqad dan aliran pemikiran ahli falsafah, Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran yang seperti ini. Bukankah ia telah mengetahui bahawasanya seseorang itu apabila telah dapat menghasilkan ilmu kemudian ia tidak beramal dengan ilmu yang telah diketahuinya itu, nanti pada hari kiamat ia akan disoal dengan soalan yang lebih berat lagi daripada orang yagn tidak mengetahui apa-apa. Seperti apa yang disebutkan dalam hadis Rasulullah saw :
أشدُّ الناسِ عذاباً يومَ القيامة عالمٌ لا ينفُهُ الله بعلمه


Ertinya :
Orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat nanti ialah seorang alim yang tidak memberi manafaat akan dia oleh Allah dengan ibunya.

Dan diriwayatkan daripada Imam Al Junaid Al Baghdadi Qaddasallahu Sirrahu bahawa ada seorang yang telah bermimpi bertemu dengan beliau di waktu tidur selepas kematian beliau. Lalu orang ini bertanya kepada Imam Al Junaid Al Baghdadi dengan katanya :

Apa khabar kamu wahai Abu Al Qasim (Al Junaidi Al Baghdadi), Lalu Imam Al Junaid Al Baghdadi menjawab :

Sebenarnya telah hilang segala ilmu yang zahir dan juga telah hilang ilmu yang batin, dan sudah tidak ada lagi yang bermanafaat kecuali hanya beberapa rakaat yang sempat kami lakukan di tengah malam.

Friday, December 27, 2013

Nasihat 1- Waktu Itu Adalah Kehidupan

Wahai anakku yang tercinta,

Sebahagian daripada nasihat Rasulullah sollahu alaihi wasallam kepada umatnya ialah :

علامةُ إعراضِ الله تعالى عنِ العَبدِ اشتِغالُهُ بما لا يَعْنِيْهِ, وإنَّ امْرأً ذهَبَتْ ساْعَةٌ مِنْ عُمُرِهِ, في غيرِ ما خُلِقَ لَهُ منَ العِبادَةِ, لَجَديرٌ أنْ تَطُوْلَ عليه حَسْرَتُهُ, ومَن جَاْوَزَ الأربَعِيْنَ ولم يغلِبْ خَيْرُهُ على شَرِّهِ فَليَتَجَهَّزْ إلى النارِ


Ertinya : "Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Ta'ala dariapda seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah), maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapakan dirinya untuk memasuki api neraka"

ٍSebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang yang berilmu.

Thursday, December 26, 2013

Muqaddimah Penulis

Alhamdulillah Rabbil Alamin, dipanjatkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah swt yang telah memudahkan hamba yang dhaif ini menyelesaikan terjemahan kitab "AYYUHAL WALAD" yang dinamakan terjemahannya dengan lafaz "Wahai Annaku Yang Tercinta".

Sebenarnya terjemahan ini bukanlah dirancangkan lebih awal tetapi ia terjadi dariapda beberapa keadaan yang sanat mendesak sekali.

Begini ceritanya, pada 18 haribulan jamadil Akhir 1417 Hijrah bersamaan dengan 1 haribulan November 1996 Masihi penterjemah telah dijemput menghadiri seminar yang ke 13 yang dianjurkan oleh Rabithoh Al Adab Al Islami Al Alamiyah (Liga Sastera Islam Sedunia) yang diadakan di Madrasah Darul Ulum Sabilus Salam, Heyderabad, India dengan tajuk :
أدب الوصايا والمواعظ

Sastera Wasiat dan Nasihat. Dan oleh kerana kesibukan yang sagat banyak penterjemah tidak sempat menyiapkan kertas kerja yang diharapkan walaupun telah ada satu niat untuk menulis kerta kerja yang bertajuk :

أدب المواعظ للإمام الغزالي رحمه الله تعالى من خلال كتابه أيها الولد

Ertinya : Sastera Nasihat Imam Al Ghazali r.a. berdasarkan pada kitab beliau yang bertajuk "Ayyuhal Walad" (Wahai Anakku Yang Tercinta)  Oleh kerana adanya niat tersebut maka penterjemahpun membaca kitab "Ayyuhal Walad" sebagai bahan rujukan dalam perjalanan ke India.

Kemudian disebabkan desakan yang bertubi-tubi dari pihak penganjur maka alhamdulillah kertas kerja yang diniatkan itu telah dapat diselesaikan dan dibentangkan dalam seminar tersebut.

Ketika kertas kerja itu dibentangkan, nampak jelas kesan yang sangat baik di kalangan para peserta seminar, maka terlintaslah di hati penterjemah untuk menterjemahkan kitab ini supaya isi dan kandungannya dapat diketahui dan dihadamkan dalam bentuk yang lebih luasa lagi.

Maka, alhamdulillah terjemahan kitab "Ayyuhal Walad" ini dapat dimulakan di dalam keretapi yang bernama (Hazrat Nizamuddin) yang membawa penterjemah daripada Heyderabad ke bandar Lucknow iaitu pada malam Isnin 20 Jamadil Akhir 1417 Hijrah bersamaan dengan 3 November 1996 Masihi. Selain daripada di dalam keretap, terjemahan ini sempat juga ditulis di Lucknow, Varanasi dan Delhi dan Alhamdulillah dapat diselesaikan di dalam jamak Masjid (Masjid Jamie) di Delhi, Indaia pada pagi hari Isnin 29 Jamadil Akhir 1417 Hijrah bersamaan dengan 11 November 1996 Masihi jam 10.00 pagi.

Sebenarnya kitab "Ayyuhal Walad" atau juga bernama "Ar Risalah Al Waladiah" adalah ditulis oleh Imam Al Ghazali r.a di dalam bahasa Parsi, kemudian kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh sebahagian ulama dan dinamakan dengan nama yang kita sebutkan tadi.

Kitab "Ayyuhal Walad" ini ditulis oleh Al Imam Al Ghazali r.a sebagai jawapan kepada sepucuk surat yang dihantar oleh seorang murid beliau yang sangat mencintainya, di mana di dalam surat itu murid beliau meminta agar Imam Al Ghazali r.a sudi menulis sepucuk surat yang menrupakan satu wasiat yang ditujukan kepadanya secara khusus, walaupun ia yakin bahawa isi dan kandungan surat tersebut telah ada termaktub dalam kitab-kitab karangan Imam Al Ghazali r.a.

Lalu Imam Al Ghazali dengan murah hati menjawab surat anak muridnya tadi dan memberikan kepadanya beberapa nasihat yang sangat mahal harganya.

Apabila kita cuba meneliti kandungan surat Imam Al Ghazali r.a ini, kita akan mendapati bahawa beliau sangat ikhlas sekali dalam memberikan nasihat dan di celah-celah ungkapan beliau terserlah kebolehan Imam Al Ghazali r.a dalam mengambarkan tipuan dunia dan kekalnya negeri akhirat dan betapa perlunya kita kepada iman dan amalan yang soleh serta kejernihan jiwa. Kita juga melihat kasih sayang Al Ghazali r.a terhadap muridnya lalu beliau membawakan nasihat ini dalam bahasa yang halus yang menyentuh hati nurani kita dan terkadang dapat mengalirkan air mata dan memberikan kesan yang sangat mendalam sekali sehingga membawa kepada suatu perubahan dalam kehidupan kita.

Maka dengan itu telah berhimpunlah di dalam nasihat Imam Al Ghazali r.a ini keindahan ikhlas dan keindahan bahasa lalu kalimah yang keluar daripada hati yang ikhlas tadi akan masuk ke dalam lubuhk hati pula dan benar-benar memberikan kesan yangketara sekali. Inilah nilai kebenaran dan nilai keindahan yang sebenar, iaitu ikhlas, indah, benar dan berkesan.

Kemudian daripada itu, walaupun surat ini pada asalnya ditujukan khusus kepada anak murid Imam Al Ghazali r.a, namun isi dan kandungannya adalah sangat diperlukan oleh semua lapisan masyarakat, sama ada besar atau kecil kerana nasihat yang ditulis oleh Imam Al Ghazali r.a ini sangat penting bagi mereka yang mahu memantapkan keazaman dalam usaha yang berterusan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.

Semoga terjemahan ini diberi berkat oleh Allah swt. dan dijadikan satu amalan yang soleh bagi penterjemah dan pembacanya.

Jamak Masjid, Delhi, India.
19 Jamadil Akhir 1417 Hijrah
10 November 1996 Masihi

Ahmad Fahmi Zamzam
(Abu Ali Al Banjari An Nadwi)