Sunday, June 29, 2014

Nasihat 4 : Kadar Balasan Mengikut Kadar Amalan

Wahai anakku yang tercinta,
Selama mana engkau tidak beramal mak selama itulah engkau tidak mendapat pahala.

Diriwayatkan bahawa ada seorang lelaki dari kalangan Bani Israel yang telah beribadat selama 70 tahun lamanya, lalu Allah Ta’ala mahu menunjukkan keadaannya ini kepada para malaikat, maka Allah Ta’ala mengutuskan kepadanya seorang malaikat yang memberitahu bahawa : walaupun ia telah beribadat 70 tahun lamanya namun ia masih belum layak masuk ke dalam syurga.

Apabila malaikat ini selesai memberitahu hal ini kepadanya lalu ia berkata : itu bukan urusan saya. Saya diciptakan untuk beribadat kepada Allah. Maka itulah kerja yang mesti saya lakukan.

Apabila malaikat kembali kepada Allah lalu ia berkata : Wahai Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang telah diperkatakannya. Lalu Allah Ta’ala berfirman “Apabila hambaKu itu tidak berpaling daripada beribadat kepadaKu, maka Aku membalasnya dengan kemurahanKu, Aku juga tidak akan berpaling daripadanya. Wahai para malaikatKu bersaksilah kamu semua bahawa Aku telah mengampuni akan segala dosanya.”

Dan telah bersabda Rasulullah saw :

حاسبوا أنفسَكم قبلَ أن تُحَاْسَبُوا وزِنُوا أعمالَكم قبلَ ان تُوزَنُوا
Ertinya : Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbang.

Dan berkata Saidina Ali RadhiyAllah ‘anhu:

مَنْ ظَنَّ أَنَّهُ بِدُوْنِ الجَهْدِ فَهُو مُتَمَنٍّ, ومَنْ ظَنَّ أَنَّهُ بِبَذْلِ الجَهْدِ يَصِلُ فَهُوَ مُسْتَغْنٍ
Ertinya : Siapa yang menyangka bahawa tanpa usaha ia akan dapat masuk ke dalam syurga maka orang itu hanyan berangan-angan sahaja dan siapa yang menyangka bahawa hanya dengan usaha sahaja ia akan masuk ke dalam syurga maka orang itu telah merasa kaya daripada rahmat Allah Ta’ala.

Dan berkata Hasan Al Basri ra :
Mencari syurga tanpa amalan adalah satu dosa daripada segala dosa.
Dan beliau berkata lagi :
Tanda faham hakikat ilmu itu ialah meninggalkan memperhatikan pahala amalan, bukan meninggalkan amalan.
Dan bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم
الكَيِّسُ مَنْ دَاْنَ نَفْسَهُ وعَمِلَ لِما بَعْدَ الْمَوْتِ والأَحْمَقُ مَنِ اتَّبَعَ هَوَاْهُ وَتَمَنَّى على الله تعالى الأمَانِيَّ
Ertinya : Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan sesudah matinya. Dan orang yang bodoh ialah orang selalu memperturutkan kehendak nafsunya dan hanya banyak berangan-angan untuk mendapat kemurahan Allah Ta’ala.