Monday, July 21, 2014

Nasihat ke 15 Lapan Wasiat Imam Hatim Al Asam Rahimahullah ta'ala


Imam Hatin Al Asam adalah murid Imam As Syaqiq al Balkhi rahimahullahu ta’ala. Beliau pernah ditanya oleh gurunya (Imam As Syaqiq al Balkhi rahimahullahu ta’ala). 

Tanya Gurunya :
“engkau telah belajar daripadaku selama 30 tahun lamanya. Maka apakah ilmu yang telah engkau dapatkan daripadaku?”

Hatim Al Asam menjawab :

“aku telah dapat menghasilkan 8 faedah daripada segala yang aku pelajari. Pada hemat saya ini sudah memadai untukku, kerana aku mengharapkan padanya keselamatan dan kesejahteraanku (Pada hari kiamat nanti)!”
Lalu Syaqiq berkata, apa dia 8 faedah itu, Hatim Al Asam menjawab, 8 faedah itu ialah :

Faedah Yang Pertama :
Sesungguhnya aku telah melihat kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini lalu aku mendapati bagi setiap makhluk ini mesti ada sesuatu yang dikasihinya dan yang diasyikinya dan aku melihat pula bahawa ada sebahagian daripada sesuatu yang dikasihi itu hanya menemani kekasihnya sehingga ke masa ia sakit sahja, dan ada pula yang sentiasa menemaninya sehingga ke dalam kubur.
Manakala yang lainnya akan terus balik dan tidak mahu untuk bersama-sama dengan kekasihnya di dalam kubur. Ia akan membiarkan kekasihnya tinggal seorang diri di dalam kubur. Lalu aku terus berfikir dan akhirnya aku membuat kesimplan bahawa sebaik-baik kekasih itu ialah kekasih yang setia mengiringi kekasihnay ke dalam kubur dan menjadi penghibur dan teman setia. Dan tidak ada kekasih yang bersedia untuk berbuat demikian selain daripada amalan yang soleh, maka aku terus menjadikan amalah soleh ini sebagai teman dan kekasihku, supaya ia dapat menerangi kuburku, dan menghiburkan hatiku dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku duduk bersendirian.
FAEDAH YANG KE DUA
Sesungguhnya aku telah melihat sekelian makhluk ini sentiasa mengikuti kehendak nafsu mereka dan bersegera menunaikan apa jua kehendaknya.
Lalu aku memikirkan firman Allah Ta’ala yang berbunyi :
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى
فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
Surah An Nazi’at 40 – 41
Maksudnya :
Dan adapun orang yang takut akan berdiri di hadapan Tuhannya dan menahan nafsu daripada kehendak-kehendaknya, maka orang itu akan dijadikan baginya syurga itu sebagai tempat tinggalnya.
Daripada pemikiranku terhadap ayat ini maka timbul satu keyakinan di dalam hatiku bahawa al Quran itu adalah benar, dan nafsu itu mesti dimusuhi, lalu akupun menjadikannya sebagai musuh, dan berjuang untuk menentangnya. Dan aku tidak pernah menmanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan merasa puas hati dengan tugasnya untuk taat dan beribadat akan Allah Ta’ala.
FAEDAH YANG KE TIGA
Sesungguhnya aku melihat setiap orang berusaha untuk menghimpunkan mata benda dunia ini sebanyak-banyaknya, kemudian lalu ia menahannya dan tidak mahu mendermakannya, lalu aku memikirkan akan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ اللّهِ بَاقٍ
Surah an Nahl 96
Maksudnya :
Apa yang ada di sisimu itu akan habis dan pahala yang ada di sisi Allah itu adalah kekal.
Lalu akupun terus suka mengorbankan apa jua yang aku dapatkan daripada harta benda dunia, dan aku suka membahagikannya di kalangan fakir dan miskin, supaya harta benda itu menjadi pahala yang tersimpan di sisi Allah Ta’ala.
FAEDAH YANG KE 4
Sesungguhnya aku melihat sebahagian daripada makhluk ini ada yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu adalah terletak pada banyaknya kaum dan pengikutnya, lalu ia tertipu dengan cara berfikirnya ini. Dan ada pula sebahagian dariapda mereka yang menyangka bahawa kemulian dan keagungan itu terletak apda banyaknya harta benda dan anak buah lalu ia merasa sombong dengan yang demikian itu, bahkan ada pula yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu berpunca dariapda kemampuan merampas hak orang lain dan menzalimi mereka serta menumpahkan darah darah mereka dan ada juga yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu berpunca dariapda banyak membuang-buang harta dan melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja.
Lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
Surah al Hujurat 13
Maksudnya :
Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ta’ala itu ialah orang paling tinggi takwanya.
Maka akupun memilih jalan takwa untuk mendapat kemuliaan dan aku yakin dengan sepenuh hati bahawa apa yang disebutkan di dalam Al Quran itu benar dan sangkaan-sangkaan mereka yang aku sebutkan tadi adalah batal dan palsu belaka.
FAEDAH YANG KELIMA
Sesungguhnya aku melihat ramai orang yang saling maki memaki dan umpat mengumpat dan aku dapati hal ini berpunca daripada sifat hasad dalam memiliki harta, kedudukan atau ilmu. Lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
Surah az Zukhruf 32
Maksudnya :
Dan sesungguhnya Kamilah yang membahagikan segala sumber kehidupan mereka di atas dunia ini.
Maka akupun faham bahawa pembahaginya asegala ni’mat itu adalah dariapda Allah ta’ala sejak dariapda alam azali lagi, oleh kerana itu aku tidak pernah hasad akan sesiapa dan aku merasa puas hati dengan pembahagian yang telah dilaksanakan oleh Allah subhanahu wata’ala.
FAEDAH YANG KEENAM
Sesungguhnya aku melihat manusia ini satu sama lain saling bermusuh-musuhan kerana ada sesuatu tujuan atau suatu sebab lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوّاً
Surah Fathir 6
Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata, kerana itu jadilah ia sebagai musuh.
Maka akupun membuat kesimpulan bahawa tidak perlu kita bermusuh dengan siapa selain daripada syaitan.
FAEDAH YANG KETUJUH
Sesungguhnya aku melihat setiap orang bersungguh-sungguh dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mencari makan dan sumber kehidupan dan terkadang ia terpaksa mengambil yang syubhat dan yang haram. Ia terpaksa menjual harga dirinya dan air mukanya. Lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :

وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللّهِ رِزْقُهَا
Surah Hud 6
Maksud :
Dan tidak ada daripada suatu yang melata di atas muka bumi ini kecuali rezekinya telah dijamin oleh Allah ta’ala.
Maka akupun mengetahui bahawasanya rezekiku di tangan Allah dan telah dijamin oleh Allah ta’ala lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadat kepadaNya dan aku putuskan segala harapanku dengan selain daripadaNya.
FAEDAH YANG KELAPAN
Sesungguhnya aku melihat setiap orang ada memiliki suatu yang menjadi pegangannya. Sebahagian mereka menjadikan dinar dan dirham (wang) sebagai pegangan dan yang lain pula menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan dan ada pula yang menjadi kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan, bahkan ada orang yang menjadikan hamba ALlah sebagai pegangan, lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً
Surah at Thalaq 3
Maksudnya :
Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah pasti akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah ta’ala itu mempersampaikan segala urusanNya. Dan sesungguhnya Allah t’ala telah menjadikan bagi setiap suatu itu kadar yang telah ditentukannya.
Maka akupun terus bertawakkal kepada Allah, maka Allah mencukupkan akan aku dan Allah itu ialah sebaik-baik tempat berserah diri.
Lalu Imam Syaqiq al Balkhi berkata kepada Imam Hatim al Asam :
Sesungguhnya Allah sentiasa memberi taufiq kepadamu. Sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan AL Quran. Maka aku mendapati isi keempat-empat kitab ini adalah berkisar pada membahas lapan masalah yang engkau sebutkan tadi dan siapa yang beramal dengannya maka sebenarnya ia telah beramal dengan kempat-empat kitab yang aku sebutkan tadi.

Thursday, July 10, 2014

Nasihat Ke 14 Wasiat Imam As Syibli Rahimullahu Ta'ala

Adalah dihikayatkan bahawa Imam As Syibli rahimahullahu ta'ala telah berkhidmat kepada empat ratus orang guru, Dan beliau juga berkata : Aku telah membaca empat ribu buah hadis, Kemudian aku pilih daripada bilangan itu sebuah hadis yang benar-benar aku amalkan dan aku tinggalkan yang lain daripadanya. Kerana aku telah memperhatikan hadis yang aku pilih ini dan aku telah mendapati di dalamnya ada keselamatanku dan kesejahteraanku dan telah terkandung di dalamnya segala ilmu awwalin (ilmu orang yang dahulu) dan ilmul akhirin (ilmu segala orang yang kemudian) maka aku merasa cukup dengan berpegang teguh dengannya. Hadis itu ialah sebuah hadis yang pernah diwasiatkan oleh Rasulullah sollahu alaihi wasallam kepada salah seorang daripada sahabatnya, Hadis itu berbunyi :

اِعمل لدُنياك بقَدرِ مُقامِك فيها, واعملْ لآخِرَتِك بقدرِ بقَائِكَ يها, واعملْ للهِ بقدرِ حاجَتِك إليه, واعملْ للنَّارِ بقدر صَبْرِكَ عليها
Ertinya : Bekerjalah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal di dalamnya. Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada di sana. Dan beramalah kerana Allah sekadar mana engkau berhajat kepadanya. Dan buatlah sebarang amalan yang akan memasukkan engkau ke dalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya.

Wahai anakku yang tercinta,
Apabila engkau mengetahu hadis ini, maka sebenarnya engkau tidak perlu lagi kepada ilmu yang banyak.

Friday, July 4, 2014

Nasihat ke 13 Empat Sifat Kesempurnaan Bagi Orang Yang Salik



Wahai anakku yang tercinta,
Wajib ke atas orang yang Salik (menjalani jalan akhirat) bahawa ia menyempurnakan empat macam sifat.

Pertama :
I’tiqad yang benar yang tidak ada bida’ah di dalamnya (maksudnya mengikuti aqidah Ahli Sunnah wal jamaah)

Kedua :
Bertaubat dengan taubat nasuha sehingga ia tidak akan kembali mengerjakan dosa yang pernah dilakukannya.

Ketiga :
Meminta halal daripada semua musuh (dan makhluk) sehingga engkau tidak akan dituntut pada hari kiamat nanti.

Keempat :
Mempelajari ilmu syariah untuk dapat menunaikan segala perintah Allah Ta’ala dan juga mempelajari ilmu akhirat yang dapat menjamin keselamatanmu di akhirat nanti.

Nasihat ke 8 Ilmu Sahaja Belum Memberi Manafaat Akan Engkau



Wahai anakku yang tercinta,
Ilmu tanpa amal ialah gila, dan amal tanpa ilmu pula adalah sia-sia.

Dan ketahuilah bahawa ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan engkau daripada perbuatan maksiat, dan belum mampu mendorong engkau berbuat taat, dan tidak akan dapat menjauhkan engkau pada hari kiamat daripada api neraka. Dan apabila engkau tidak beramal dengan ilmu yang ada pada dirimu dan engkau tidak membuat pembetulan terhadap segala kesilapan yang engkau lakukan pada masa yang lalu, kelak engkau akan berkata pada hari kiamat nanti :

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ

“Wahai Tuhan kami!! Kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu) maka kembalikan kami ke dunia untuk kami beramal soleh” (As Sajdah 12)

Lalu dikatakan kepada engkau :
Wahai si bodoh, kenapa engkau hendak kembali ke sana sedangkan engkau baru sahaja datang dari sana.

Nasihat ke 9 Tinggikan Hemahmu Dan Lawanlah Nafsumu Dan Buatlah Bekalah Akhirat



Wahai anakku yang tercinta,
Jadikanlah hemahmu itu dalam meningkatkan rohanimu, dan jadikanlah segala kegagalan itu berada di pihak hawa nafsumu. Dan jadikanlah kematian ini hanya pada badanmu, kerana tempat tinggalmu ialah liang kubur, dan penghuni kubur sentiasa menanti kedatanganmu pada setiap masa, maka jangan sekali-kali engkau datang ke sana tanpa bekalan.

Dan berkata Saidina Abu Bakar as Siddiq ra :
“Badan kita itu tidak ubahnya laksana sangkar burung ataupun kandang binatang, maka fikirlah baik-baik untuk dirimu. Dan tentukanlah bagi dirimu, yang mana satu di antara dua perumpamaan ini”.

“Jikalau engkau laksana burung yang terbang tinggi maka ia akan terbang dengan riang gembira apabila mendengara seruan”.

ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
  Surah al Fajr 28
Maksudnya :
Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai.

Engkau akan terus terbang tinggi sehingga engkau akan hinggap di puncak pohon pohonan syurga yang tinggi. Ini seperti mana sabda Rasulullah sollahu alaihi wasallam, ketika Saad bin Muaz meninggal dunia :

اِهْتَزْ عَرْشُ الرحمنِ مِنْ مَوْتِ سَعدِ بنِ مُعَاْذٍ
Ertinya :
Telah bergegar Arasy Allah (kerana kegembiraan) ketika kematian Saad bin Muaz.

Dan mudah mudahan Allah melindungi engkau daripada menjadi laksana binatang ternak seperti firman Allah ta’ala :

أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ
           Surah Al A’raf 179
Maksudnya :
Mereka ini laksana binatang bahkan lebih sesat lagi.

Maka tidak mustahil bahawa engkau berpindah dari alam dunia ini ke dalam jurang api neraka.

Dan adalah diriwayatkan bahawa Imam Hassan Al Basri rahimahullahu ta’ala diberikan kepada beliau segelas air sejuk lalu beliau memegang gelas tersebut dan terus sahaja beliau pengsan. Apabila beliau telah sedar lalu ada orang bertanya, kenapa tadi engkau jatuh pengsan. Beliau menjawab, tadi akau teringat angan-angan ahli neraka, kelak nanti mereka berkata kepada ahli syurga :
أَنْ أَفِيضُواْ عَلَيْنَا مِنَ الْمَاء أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللّهُ
 Surah al A’raf 50
Ertinya :
Limpahkan kepada kami sebahagian daripada air yang ada pada kamu atau apa sahaja makanan dari rezeki yang telah diberi oleh Allah kepada kamu.