Saturday, December 28, 2013

Nasihat 3 Ilmu Itu Tidak Bermanafaat Kecuali Bila Sudah Diamalkan


Wahai anakku yang tercinta,
Janganlah engkau jadi orang yang muflis pada amalnya dan janganlah engkau jadikan dirimu itu kosong daripada perkara yang berfaedah dan yakinlah bahawasanya semata-mata ilmu itu belum dapat menjamin keselamatanmu di akhirat kelak.

Umpamanya :
Kalau seseorang ada memiliki sepuluh bilah pedang yang sangat tajam dan juga bermacam-macam senjata yang lain lagi dan dia pula adalah seorang yang berani dan sangat cekap dalam peperangan, lalu datang seekor singa yang garang dan terus menyerangnya, maka apa pendpatmu, apakah semata-mata memiliki segala senjata tadi tanpa menggunakannya sudah cukup untuk menangkis serangan singa itu? Sudah tentu tidak.

Segala senjata itu baru bermanafaat apabila ianya digunakan oleh tuan empunya senjata itu. Maka begitulah keadaan seseorang yang telah mengetahui ratusan ribu masalah ilmu tetapi ia tidak beramal dengannya, maka segala ilmunya tidak akan bermanafaat kecuali setelah diamlkan. Sama pula keadaannya dengan seorang yang diserang sakit demam panas dan sakit kuning yang biasanya ia dinasihatkan meminum ubat sekanjabin dan kaskab, maka tidak akan hasil sembuhnya kecuali dengan dengan meminum ubat rersebut.

Dalam hal ini disebutkan suatu syair dalam bahasa Parsi :
كرمى دو هزار رطل همى بيمائي
                                                تامى نخورى نباشدت شيدائي
Ertinya : Seandainya engkau menimbang dua ribu kati arak, maka engkau tidak akan mabuk sehingga bila engkau meminumnya.
Jadi jika engkau belajar ilmu seratus tahun lamanya dan engkau menghimpunkan seribu buat kitab maka engkau masih belum layak mendapat rahmat Allah Ta'ala kecuali dengan mengamalkan ilmu ini.

Allah Ta'ala telah berfirman :
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
Maksudnya : Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat sesuatu, kecuali apa yang diusahakannya (An Najm 39)
Dan firmannya lagi :
يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً
Maksudnya : Maka sesiapa yang mengharap akan bertemu Tuhannya, maka hendaklah ia beramal akan amalan yang soleh (Al Kahfi 110)

Dan firmanNya lagi :
جَزَاء بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Balasan yang diberikan kepada mereka itu adalah sebagai balasan bagi amal yang telah mereka lakukan (At Taubah 82)

Dan firmanNya lagi :
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلاً
خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلاً
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh adalah syurga 'jannatul firdaus' itu sebagai tempat tinggal mereka. Mereka kekal di dalamnya dan mereka sudah tidak mahu lagi mencari tempat yang lain daripadanya sebagai gantinya (Al Kahfi 107 – 108)

Dan FirmanNya lagi :
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Kecuali (ertinya tidak masuk neraka) orang yang bertaubat dan beriman serta beramal dengan amal soleh (Al Furqan 70)

Apalabila engkau tidak beramal dengan ilmu maka ap jawapanmu terhadap hadis di bawah ini :
بني الإسلام على خمس : شهادةِ أن لا إله إلا الله ، وأن محمدا رسول الله ، وإقامِ الصلاةِ ، وإيتاءِ الزكاةِ ، وصوم رمضان وحجِّ البيت ، ) رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya :
Islam itu diasaskan atas lima perkara : Penyaksian bahawa tidak ada Tuhan kecuali hanya Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, mengerjakan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu pergi ke sana.

Makan iman itu ialah perkataan denga lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

Dan dalil yang menuntut kita supaya beramal itu sangat banyak sekali sehingga tidak dapat dihitung banyaknya. Walaupun seorang hamba itu akan masuk syurga hanya dengan rahmat dan kemurahan Allah ta’ala, namun rahmat dan kemurahan ini didapatkan setelah seseorang hamba itu mempersiapkan diri dengan ketaatan dan ibadat, kerana rahmat Allah itu dekat kepada hamba-hambaNya yang berbuat baik.

Seandainya ada orang berkata :
Masuk syurga itu hanya dengan semata-mata beriman (inilah i’tiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah)

Maka kami menjawab:
Memang begitu, tetapi bilakah seseorang itu dapat sampai ke sana dengan selamat (masuk syurga) dan berapa banyak halangan dan dugaan yang besar-besar yang mesti dilaluinya sebelum sampai ke sana.

Maka dugaaan pertama yang mesti dilaluinya ialah dugaan iman itu sendiri, apakah ia pasti selamat daripada tercabut iman sehingga ke ahir hayatnya. Dan apabila ia telah mati dalam keadaan beriman, maka apakah telah pasti pula bahawa ia tidak akan muflis atau rugi.

Dan berkata Imam Hasan al Basri rahimahullah ta’ala :
Allah ta’ala berfirman kepada hamba-hambaNya pada hari kiamat nanti “masuilah kamu ke dalam syurga dengan rahmatKu, dan tentukan kedudukan kamu masing-masing mengikut amalan kamu”.

No comments: