Monday, July 21, 2014

Nasihat ke 15 Lapan Wasiat Imam Hatim Al Asam Rahimahullah ta'ala


Imam Hatin Al Asam adalah murid Imam As Syaqiq al Balkhi rahimahullahu ta’ala. Beliau pernah ditanya oleh gurunya (Imam As Syaqiq al Balkhi rahimahullahu ta’ala). 

Tanya Gurunya :
“engkau telah belajar daripadaku selama 30 tahun lamanya. Maka apakah ilmu yang telah engkau dapatkan daripadaku?”

Hatim Al Asam menjawab :

“aku telah dapat menghasilkan 8 faedah daripada segala yang aku pelajari. Pada hemat saya ini sudah memadai untukku, kerana aku mengharapkan padanya keselamatan dan kesejahteraanku (Pada hari kiamat nanti)!”
Lalu Syaqiq berkata, apa dia 8 faedah itu, Hatim Al Asam menjawab, 8 faedah itu ialah :

Faedah Yang Pertama :
Sesungguhnya aku telah melihat kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini lalu aku mendapati bagi setiap makhluk ini mesti ada sesuatu yang dikasihinya dan yang diasyikinya dan aku melihat pula bahawa ada sebahagian daripada sesuatu yang dikasihi itu hanya menemani kekasihnya sehingga ke masa ia sakit sahja, dan ada pula yang sentiasa menemaninya sehingga ke dalam kubur.
Manakala yang lainnya akan terus balik dan tidak mahu untuk bersama-sama dengan kekasihnya di dalam kubur. Ia akan membiarkan kekasihnya tinggal seorang diri di dalam kubur. Lalu aku terus berfikir dan akhirnya aku membuat kesimplan bahawa sebaik-baik kekasih itu ialah kekasih yang setia mengiringi kekasihnay ke dalam kubur dan menjadi penghibur dan teman setia. Dan tidak ada kekasih yang bersedia untuk berbuat demikian selain daripada amalan yang soleh, maka aku terus menjadikan amalah soleh ini sebagai teman dan kekasihku, supaya ia dapat menerangi kuburku, dan menghiburkan hatiku dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku duduk bersendirian.
FAEDAH YANG KE DUA
Sesungguhnya aku telah melihat sekelian makhluk ini sentiasa mengikuti kehendak nafsu mereka dan bersegera menunaikan apa jua kehendaknya.
Lalu aku memikirkan firman Allah Ta’ala yang berbunyi :
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى
فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
Surah An Nazi’at 40 – 41
Maksudnya :
Dan adapun orang yang takut akan berdiri di hadapan Tuhannya dan menahan nafsu daripada kehendak-kehendaknya, maka orang itu akan dijadikan baginya syurga itu sebagai tempat tinggalnya.
Daripada pemikiranku terhadap ayat ini maka timbul satu keyakinan di dalam hatiku bahawa al Quran itu adalah benar, dan nafsu itu mesti dimusuhi, lalu akupun menjadikannya sebagai musuh, dan berjuang untuk menentangnya. Dan aku tidak pernah menmanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan merasa puas hati dengan tugasnya untuk taat dan beribadat akan Allah Ta’ala.
FAEDAH YANG KE TIGA
Sesungguhnya aku melihat setiap orang berusaha untuk menghimpunkan mata benda dunia ini sebanyak-banyaknya, kemudian lalu ia menahannya dan tidak mahu mendermakannya, lalu aku memikirkan akan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ اللّهِ بَاقٍ
Surah an Nahl 96
Maksudnya :
Apa yang ada di sisimu itu akan habis dan pahala yang ada di sisi Allah itu adalah kekal.
Lalu akupun terus suka mengorbankan apa jua yang aku dapatkan daripada harta benda dunia, dan aku suka membahagikannya di kalangan fakir dan miskin, supaya harta benda itu menjadi pahala yang tersimpan di sisi Allah Ta’ala.
FAEDAH YANG KE 4
Sesungguhnya aku melihat sebahagian daripada makhluk ini ada yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu adalah terletak pada banyaknya kaum dan pengikutnya, lalu ia tertipu dengan cara berfikirnya ini. Dan ada pula sebahagian dariapda mereka yang menyangka bahawa kemulian dan keagungan itu terletak apda banyaknya harta benda dan anak buah lalu ia merasa sombong dengan yang demikian itu, bahkan ada pula yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu berpunca dariapda kemampuan merampas hak orang lain dan menzalimi mereka serta menumpahkan darah darah mereka dan ada juga yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu berpunca dariapda banyak membuang-buang harta dan melakukan pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja.
Lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
Surah al Hujurat 13
Maksudnya :
Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ta’ala itu ialah orang paling tinggi takwanya.
Maka akupun memilih jalan takwa untuk mendapat kemuliaan dan aku yakin dengan sepenuh hati bahawa apa yang disebutkan di dalam Al Quran itu benar dan sangkaan-sangkaan mereka yang aku sebutkan tadi adalah batal dan palsu belaka.
FAEDAH YANG KELIMA
Sesungguhnya aku melihat ramai orang yang saling maki memaki dan umpat mengumpat dan aku dapati hal ini berpunca daripada sifat hasad dalam memiliki harta, kedudukan atau ilmu. Lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
Surah az Zukhruf 32
Maksudnya :
Dan sesungguhnya Kamilah yang membahagikan segala sumber kehidupan mereka di atas dunia ini.
Maka akupun faham bahawa pembahaginya asegala ni’mat itu adalah dariapda Allah ta’ala sejak dariapda alam azali lagi, oleh kerana itu aku tidak pernah hasad akan sesiapa dan aku merasa puas hati dengan pembahagian yang telah dilaksanakan oleh Allah subhanahu wata’ala.
FAEDAH YANG KEENAM
Sesungguhnya aku melihat manusia ini satu sama lain saling bermusuh-musuhan kerana ada sesuatu tujuan atau suatu sebab lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوّاً
Surah Fathir 6
Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata, kerana itu jadilah ia sebagai musuh.
Maka akupun membuat kesimpulan bahawa tidak perlu kita bermusuh dengan siapa selain daripada syaitan.
FAEDAH YANG KETUJUH
Sesungguhnya aku melihat setiap orang bersungguh-sungguh dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mencari makan dan sumber kehidupan dan terkadang ia terpaksa mengambil yang syubhat dan yang haram. Ia terpaksa menjual harga dirinya dan air mukanya. Lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :

وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللّهِ رِزْقُهَا
Surah Hud 6
Maksud :
Dan tidak ada daripada suatu yang melata di atas muka bumi ini kecuali rezekinya telah dijamin oleh Allah ta’ala.
Maka akupun mengetahui bahawasanya rezekiku di tangan Allah dan telah dijamin oleh Allah ta’ala lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadat kepadaNya dan aku putuskan segala harapanku dengan selain daripadaNya.
FAEDAH YANG KELAPAN
Sesungguhnya aku melihat setiap orang ada memiliki suatu yang menjadi pegangannya. Sebahagian mereka menjadikan dinar dan dirham (wang) sebagai pegangan dan yang lain pula menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan dan ada pula yang menjadi kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan, bahkan ada orang yang menjadikan hamba ALlah sebagai pegangan, lalu aku memikirkan firman Allah ta’ala yang berbunyi :
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً
Surah at Thalaq 3
Maksudnya :
Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah pasti akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah ta’ala itu mempersampaikan segala urusanNya. Dan sesungguhnya Allah t’ala telah menjadikan bagi setiap suatu itu kadar yang telah ditentukannya.
Maka akupun terus bertawakkal kepada Allah, maka Allah mencukupkan akan aku dan Allah itu ialah sebaik-baik tempat berserah diri.
Lalu Imam Syaqiq al Balkhi berkata kepada Imam Hatim al Asam :
Sesungguhnya Allah sentiasa memberi taufiq kepadamu. Sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan AL Quran. Maka aku mendapati isi keempat-empat kitab ini adalah berkisar pada membahas lapan masalah yang engkau sebutkan tadi dan siapa yang beramal dengannya maka sebenarnya ia telah beramal dengan kempat-empat kitab yang aku sebutkan tadi.

1 comment:

Akhbar Aman said...

Alhamdulillah...terima kasih kerana menitip bacaan KITAB AYYUHAL WALAD utuk rujukan.